Jumaat, 3 Mei 2013

KATA NAFI



PASANGAN KATA MENGELIRUKAN
1.       KATA NAFI : tidak  -  bukan
·         Kedua-duanya ialah kata nafi. Kata nafi ialah perkataan yang menjadi unsur nafi untuk frasa-frasa predikat.
tidak
bukan
Kata nafi tidak ialah unsur nafi bagi frasa kerja dan frasa adjektif.
Kata nafi bukan menjadi unsur nafi frasa nama dan frasa sendi nama.
Bapanya tidak pergi ke pejabat hari ini.
Makanan itu bukan untuk Ali tetapi untuk Aminah.
Kenyataan yang diberinya itu tidak benar.
Projek itu bukan usaha yang saya lakukan.

Nota:
·               Kata nafi bukan boleh juga hadir sebelum frasa kerja dan frasa adjektif jika kedua-dua frasa tersebut mendukung maksud pertentangan maklumat.
Contoh:    Pak Abu bukan kaya sangat tetapi pemurah orangnya.
                    Dia bukan hendak belajar tetapi hendak bermain sahaja.
2.       kerana  -  sebab
·         kerana ialah kata hubung manakala sebab ialah kata nama.
kerana
sebab
Zainal tidak pergi ke sekolah kerana dia demam campak.
Pihak tertuduh gagal memberikan sebab dia tidak bersalah.

Nota:
Perkataan sebab boleh dijadikan sebagai kata hubung dengan meletakkan perkataan oleh di hadapannya menjadi oleh sebab. Perlu diingat bahawa kata hubung kerana yang memang merupakan kata hubung tidak boleh diletakkan perkataan oleh untuk menjadikannya sebagai kata hubung. Oleh itu, frasa oleh kerana adalah salah.
Contoh kesalahan ayat:
Abu ditangkap oleh pihak polis sebab mencuri di pasar raya. (X)
Abu ditangkap oleh pihak polis kerana mencuri di pasar raya. (√)

Oleh kerana hujan, kami terpaksa berteduh di bawah pokok itu. (X)
Oleh sebab hujan, kami terpaksa berteduh di bawah pokok itu. (√)

3.       dalam   -   di dalam
dalam
di dalam
Merupakan kata sendi nama yang hadir di hadapan kata nama yang membawa pengertian tempat yang tidak mempunyai ruang atau jarak.
Merupakan kata arah hadir di hadapan kata nama yang mmerujuk kepada tempat yang mempunyai ruang atau jarak.
1.    Kita semua bersetuju dalam hal ini.
1.   Banyak pelajar masih berada di dalam kelas 
      itu.
2.    Kita harus fasih bertutur dalam bahasa Melayu.
2.   Beberapa orang pemburu telah sesat di dalam 
      hutan yang tebal itu.
3.    Perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat yang lalu.
3.   Buku-buku itu terletak di dalam meja saya.

Contoh ayat yang salah:
Saya tidak terlibat di dalam urusan perniagaan itu. (X)
Aminah masih berada dalam kelas itu. (X)  

4.   antara  -  di antara

antara
di antara
Kata sendi nama yang tidak membawa maksud yang mempunyai ruang dan jarak.
Contoh:
·         Tidak ada perbezaan yang besar antara pendapat saya dengan pendapatnya.
·         Pelajar itu sedang  berbincang antara mereka.
Kata arah yang digunakan untuk maksud arah yang mempunyai ruang dan jarak.
Contoh:
·        Tambak Johor terletak di antara negeri Johor dengan negara Singapura.
·        Saya dapat menikmati pemandangan yang indah sepanjang perjalanan di antara Pulau Pinang dengan Kelantan.

5.   bagi   -   untuk
·         Pada umumnya kata bagi dan untuk ialah kata sendi nama yang digunakan secara bervariasi antara satu sama lain.
·         Asrama itu dibina untuk pelajar-pelajar miskin. (√)
·         Asrama itu dibina bagi pelajar-pelajar miskin. (√)

Nota :
Dalam penggunaan untuk menyatakan maksud bahagian yang ditentukan kata untuk tidak boleh ditukar ganti dengan kata bagi.
Contoh:
·         Hadiah itu pemberian khas daripada ibu untuk saya. (√)
·         Hadiah itu pemberian khas daripada ibu bagi saya. (X)



6.   dapat   -   boleh

dapat
boleh
Kata bantu yang digunakan dalam ayat yang menyatakan maksud ada keupayaan atau berupaya.
Kata bantu yang digunakan dalam ayat yang menyatakan maksud keizinan atau kebenaran.
1.  Jalan itu tidak dapat dilalui kerana banjir.
1.  Kanak-kanak mahupun orang dewasa tidak
     boleh berbohong.
2.  Saya tidak dapat memenuhi permintaannya
     yang melampau itu.
2.  Ahmad tidak boleh menghadiri majlis itu kerana
     terpaksa menolong ibunya di rumah.


7.   berasa    -   merasa

Berasa bermakna mempunyai rasa manakala merasa pula bermakna menikmati rasa.
Berasa mesti digunakan di hadapan kata adjektif, manakala merasa digunakan di hadapan kata
nama.

berasa
merasa
Ahmad berasa kecewa dengan keputusan pertandingan itu.
Ibu ingin merasa kari ayam yang telah dimasak oleh ayah.
Seluruh badan Pak Samad berasa sakit setelah bekerja sehari suntuk.
Bapa saya pernah merasai keperitan hidup pada zaman pemerintahan Jepun.
Gulai ikan itu berasa sangat masin akibat terlebih garam.
Aminah merasai kesakitan yang teruk akibat kemalangan itu.

8.  ialah   -   adalah
ialah
adalah
Kata pemeri yang digunakan di hadapan kata nama.
Kata pemeri yang digunakan di hadapan kata sendi nama dan kata adjektif.
Contoh:
Cikgu Nor ialah guru Bahasa Melayu saya.

Menara Berkembar Petronas ialah bangunan yang tertinggi di dunia.
Contoh:
Langkah kerajaan itu adalah untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Anak Puan Aminah adalah sangat comel.

Nota:
Kata pemeri tidak boleh hadir bersama-sama dengan kata nafi.
Contoh:
                Siswazah yang baru lulus itu ialah bukan berasal dari Pulau Pinang. (X)
                Siswazah yang baru lulus itu bukan berasal dari Pulau Pinang. (√)

                Arahan itu adalah bukan untuk semua pegawai. (X)
                Arahan itu bukan untuk semua pegawai. (√)

  • Kata pemeri boleh wujud dalam binaan kata nafi dan frasa adjektif
                Berita yang disebarkan itu adalah tidak benar. (√)

  • Kata pemeri tidak boleh hadir di hadapan frasa kerja atau kata kerja.
Adalah dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan esok. (X)
Dengan ini dimaklumkan bahawa kerja gotong-royong akan dimulakan esok. (√)

9.   banyak   -   ramai

banyak
ramai
Kata adjektif yang digunakan untuk menunjukkan bilangan yang lebih daripada satu khasnya untuk manusia, benda dan binatang.
Contoh:
Banyak pelajar yang tidak datang ke sekolah hari ini kerana banjir.

Banyak kanak-kanak suka akan makanan yang manis.
Digunakan untuk menunjukkan suasana dan keadaan meriah, tidak sunyi, bising, dan riuh rendah.
Contoh:
Suasana majlis hari jadi itu menjadi riuh-rendah apabila ramai orang yang menjerit-jerit.

Ramai kanak-kanak yang melompat-lompat semasa menyaksikan persembahan penyanyi itu.

Contoh ayat yang salah:
  • Ramai pelajar tidak hadir ke sekolah kerana sakit mata. (X)
  • Banyak pelajar tidak hadir ke sekolah kerana sakit mata. (√)

  • Jennifer Lopez mempunyai ramai peminat di Malaysia. (X)
  • Jennifer Lopez mempunyai banyak peminat di Malaysia. (√).

Rabu, 1 Mei 2013

PANDUAN FONOLOGI -PROF ABD HAMID

PANDUAN BAGI PELAJAR PJJ MENYEDIAKAN DIRI UNTUK MENGHADAPI PEPERIKSAAN**!!!
Anda dinasihatkan agar sentiasa meneliti nota kuliah, modul dan buku dengan penuh perhatian supaya dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan nanti dengan baik dan cemerlang.
Berhubung dengan subjek BML 3043: Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu, anda perlu mengetahui dan boleh menjawab setiap aspek ilmu tersebut:
1.      Anda perlu boleh menjawab soalan seperti Apakah itu ilmu fonetik?, dan Apakah pula ilmu fonologi?  Anda perlu boleh menyatakan bahawa  ilmu fonetik ialah ilmu yang mengkaji bunyi-bunyi bahasa, iaitu bahasa yang dituturkan oleh manusia.  Contoh bunyi yang dikaji ialah bunyi-bunyi vokal dan bunyi-bunyi konsonan.  Contoh bunyi vokal ialah bunyi vokal depan dan vokal belakang.  Contoh bunyi konsonan ialah bunyi-bunyi konsonan seperti konsonan letupan, konsonan geseran, konsonan sengau dan konsonan letusan dan sebagainya.  Anda perlu boleh memberikan contoh bunyi konsonan (bersuara dan tidak bersuara) bagi setiap bunyi konsonan tersebut.

2.      Anda perlu boleh membezakan antara bunyi vokal dan bunyi konsonan.  Anda perlu boleh memberikan contoh-contohnya sekali.

3.      Anda perlu mengetahui ciri-ciri vokal dan ciri-ciri konsonan, misalnya vokal itu dihasilkan dengan cara udara keluar terus-menerus tanpa sekatan.  Bunyi vokal juga lantang dan panjang.  Konsonan dihasilkan dengan cara adanya sekatan atau halangan atau sempitan.  Anda harus mengetahui jenis-jenis konsonan tersebut seperti konsonan letupan, konsonan geseran, konsonan letusan, konsonan sengau dan sebagainya. 

4.      Anda juga perlu mengetahui perbezaan antara bunyi sengau dengan bunyi sengauan.  Bunyi sengau dalam bahasa Melayu ialah bunyi konsonan-konsonan sengau seperti bunyi [ɲ], [ŋ].  Bunyi sengauan pula merupakan bunyi yang berlaku pada mana-mana bunyi vokal yang hadir selepas bunyi konsonan sengau, contoh: [mãlam].  Pengaruh bunyi sengau itu merebak kena pada bunyi-bunyi vokal kerana rongga hidung tidak sempat ditutup oleh anak tekak dan lelangit lembut.  Selain itu, anda perlu memberikan contoh-contoh vokal depan, vokal belakang dan vokal tengah.  Anda juga perlu memberikan contoh-contoh bunyi konsonan letupan, konsonan geseran, konsonan letusan, konsonan sengau dll.

5.      Anda perlu mengetahui definisi fonem, alofon, diftong, urutan dua vokal, bervariasi bebas, beralternasi bebas, pasangan minimal.  Anda harus boleh memberikan contoh-contoh bagi setiap istilah tersebut.

6.      Anda perlu boleh menjelaskan jenis-jenis bunyi koartikulasi atau artikulasi tambahan bahasa Melayu seperti pembibiran, penyengauan, penglelangitkerasan dan lain-lain.  Anda perlu boleh memberi contoh-contoh yang sesuai bagi setiap jenis artikulasi tambahan tersebut.

7.      Anda perlu boleh menerangkan Sistem Ejaan Baharu Bahasa Melayu yang dipersetujui antara Malaysia dengan Indonesia pada tahun 1972.  Anda juga perlu mengetahui manfaat-manfaat yang diperoleh daripada sistem ejaan baharu tersebut.  Anda perlu mengetahui hal tentang huruf-huruf vokal dan huruf konsonan yang digunakan dalam sistem ejaan baharu tersebut serta perubahan bunyi konsonan seperti ch berubah menjadi c, sh berubah menjadi sy, dll.  Anda juga perlu mengetahui kesemua 18 keselarasan huruf vokal yang digunakan dalam sistem ejaan baharu bahasa Melayu.  Anda harus memberikan contoh-contoh ejaan bahasa Melayu yang betul berdasarkan keselarasan vokal tersebut (sila rujuk halaman 132-135, buku Menguasai Bahasa Melayu Tinggi atau rujuk halaman 6-7, buku Gunakan Bahasa Melayu Yang Betul).  Anda juga dinasihatkan supaya berlatih dengan latihan ejaan pada halaman 6-25 dalam buku Gunakan Bahasa Melayu Yang Betul.

8.      Anda perlu berlatih dan mengetahui cara menulis transkripsi fonetik.  Misalnya anda dikehendaki menulis perkataan ubi kayu dalam bentuk transkripsi fonetik.  Ada dua cara mengeja ubi kayu tersebut.  Jika ubi kayu itu hadir pada awal ayat, bentuk transkripsi fonetik menjadi seperti berikut:

[ʔubi kaju]  -   sebab sebelum menyebut vokal [u], berlaku pengglotisan terlebih
dahulu kerana  sukar melafazkan vokal pada awal perkataan.

Jika ubi kayu hadir di tengah ayat, misalnya kakak membeli ubi kayu di pekan, bentuk transkripsi fonetik menjadi seperti berikut:


̴
 
 
[#kakaʔ məmbəli ubi kaju di pəkan#]


Perhatian:

ubi kayu yang hadir  di awal ayat perlu dimulakan dengan koartikulasi atau artikulasi tambahan pengglotisan [ʔ] sebelum bunyi vokal [u], iaitu [ʔubi], tetapi ubi kayu yang hadir di tengah ayat tidak memerlukan tanda pengglotisan kerana dari segi sebutan kita dapat menyebut bunyi dengan licin dan berterusan tanpa tersekat-sekat.

**SOALAN PEPERIKSAAN ADALAH BENTUK ESEI.