Rabu, 1 Mei 2013

PANDUAN FONOLOGI -PROF ABD HAMID

PANDUAN BAGI PELAJAR PJJ MENYEDIAKAN DIRI UNTUK MENGHADAPI PEPERIKSAAN**!!!
Anda dinasihatkan agar sentiasa meneliti nota kuliah, modul dan buku dengan penuh perhatian supaya dapat menjawab soalan-soalan peperiksaan nanti dengan baik dan cemerlang.
Berhubung dengan subjek BML 3043: Fonetik dan Fonologi Bahasa Melayu, anda perlu mengetahui dan boleh menjawab setiap aspek ilmu tersebut:
1.      Anda perlu boleh menjawab soalan seperti Apakah itu ilmu fonetik?, dan Apakah pula ilmu fonologi?  Anda perlu boleh menyatakan bahawa  ilmu fonetik ialah ilmu yang mengkaji bunyi-bunyi bahasa, iaitu bahasa yang dituturkan oleh manusia.  Contoh bunyi yang dikaji ialah bunyi-bunyi vokal dan bunyi-bunyi konsonan.  Contoh bunyi vokal ialah bunyi vokal depan dan vokal belakang.  Contoh bunyi konsonan ialah bunyi-bunyi konsonan seperti konsonan letupan, konsonan geseran, konsonan sengau dan konsonan letusan dan sebagainya.  Anda perlu boleh memberikan contoh bunyi konsonan (bersuara dan tidak bersuara) bagi setiap bunyi konsonan tersebut.

2.      Anda perlu boleh membezakan antara bunyi vokal dan bunyi konsonan.  Anda perlu boleh memberikan contoh-contohnya sekali.

3.      Anda perlu mengetahui ciri-ciri vokal dan ciri-ciri konsonan, misalnya vokal itu dihasilkan dengan cara udara keluar terus-menerus tanpa sekatan.  Bunyi vokal juga lantang dan panjang.  Konsonan dihasilkan dengan cara adanya sekatan atau halangan atau sempitan.  Anda harus mengetahui jenis-jenis konsonan tersebut seperti konsonan letupan, konsonan geseran, konsonan letusan, konsonan sengau dan sebagainya. 

4.      Anda juga perlu mengetahui perbezaan antara bunyi sengau dengan bunyi sengauan.  Bunyi sengau dalam bahasa Melayu ialah bunyi konsonan-konsonan sengau seperti bunyi [ɲ], [ŋ].  Bunyi sengauan pula merupakan bunyi yang berlaku pada mana-mana bunyi vokal yang hadir selepas bunyi konsonan sengau, contoh: [mãlam].  Pengaruh bunyi sengau itu merebak kena pada bunyi-bunyi vokal kerana rongga hidung tidak sempat ditutup oleh anak tekak dan lelangit lembut.  Selain itu, anda perlu memberikan contoh-contoh vokal depan, vokal belakang dan vokal tengah.  Anda juga perlu memberikan contoh-contoh bunyi konsonan letupan, konsonan geseran, konsonan letusan, konsonan sengau dll.

5.      Anda perlu mengetahui definisi fonem, alofon, diftong, urutan dua vokal, bervariasi bebas, beralternasi bebas, pasangan minimal.  Anda harus boleh memberikan contoh-contoh bagi setiap istilah tersebut.

6.      Anda perlu boleh menjelaskan jenis-jenis bunyi koartikulasi atau artikulasi tambahan bahasa Melayu seperti pembibiran, penyengauan, penglelangitkerasan dan lain-lain.  Anda perlu boleh memberi contoh-contoh yang sesuai bagi setiap jenis artikulasi tambahan tersebut.

7.      Anda perlu boleh menerangkan Sistem Ejaan Baharu Bahasa Melayu yang dipersetujui antara Malaysia dengan Indonesia pada tahun 1972.  Anda juga perlu mengetahui manfaat-manfaat yang diperoleh daripada sistem ejaan baharu tersebut.  Anda perlu mengetahui hal tentang huruf-huruf vokal dan huruf konsonan yang digunakan dalam sistem ejaan baharu tersebut serta perubahan bunyi konsonan seperti ch berubah menjadi c, sh berubah menjadi sy, dll.  Anda juga perlu mengetahui kesemua 18 keselarasan huruf vokal yang digunakan dalam sistem ejaan baharu bahasa Melayu.  Anda harus memberikan contoh-contoh ejaan bahasa Melayu yang betul berdasarkan keselarasan vokal tersebut (sila rujuk halaman 132-135, buku Menguasai Bahasa Melayu Tinggi atau rujuk halaman 6-7, buku Gunakan Bahasa Melayu Yang Betul).  Anda juga dinasihatkan supaya berlatih dengan latihan ejaan pada halaman 6-25 dalam buku Gunakan Bahasa Melayu Yang Betul.

8.      Anda perlu berlatih dan mengetahui cara menulis transkripsi fonetik.  Misalnya anda dikehendaki menulis perkataan ubi kayu dalam bentuk transkripsi fonetik.  Ada dua cara mengeja ubi kayu tersebut.  Jika ubi kayu itu hadir pada awal ayat, bentuk transkripsi fonetik menjadi seperti berikut:

[ʔubi kaju]  -   sebab sebelum menyebut vokal [u], berlaku pengglotisan terlebih
dahulu kerana  sukar melafazkan vokal pada awal perkataan.

Jika ubi kayu hadir di tengah ayat, misalnya kakak membeli ubi kayu di pekan, bentuk transkripsi fonetik menjadi seperti berikut:


̴
 
 
[#kakaʔ məmbəli ubi kaju di pəkan#]


Perhatian:

ubi kayu yang hadir  di awal ayat perlu dimulakan dengan koartikulasi atau artikulasi tambahan pengglotisan [ʔ] sebelum bunyi vokal [u], iaitu [ʔubi], tetapi ubi kayu yang hadir di tengah ayat tidak memerlukan tanda pengglotisan kerana dari segi sebutan kita dapat menyebut bunyi dengan licin dan berterusan tanpa tersekat-sekat.

**SOALAN PEPERIKSAAN ADALAH BENTUK ESEI.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan